Friday, September 3, 2010

Adakah Ramadhan Ini Yang Terakhir Buatku...?

Selamat pagi Sunshine...

Rancangan Semanis Kurma @ TV9 semalam membincangkan tentang mengejar apa yang dinamakan Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, yang hanya muncul pada 1 malam daripada 10 malam terakhir Ramadhan. Menurut ulasan panel jemputan, Lailatul Qadar adalah satu kurnian Allah SWT kepada hamba - hambaNya yang menghidupkan malam sepanjang Ramadhan dengan ibadah. Allah menjanjikan nikmat yang begitu besar seolah ibadah yang mereka laksanakan itu dilakukan dalam tempoh yang begitu lama.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa umat Muhammad SAW pada suatu ketika dahulu pernah menyatakan kebimbangan kepada baginda jika mereka tidak sempat beribadah sebanyak yang mungkin kerana rata - ratanya jangka hayat umat Rasulullah SAW hanya dalam lingkungan 60-70 tahun. Terlalu singkat jika dibandingkan dengan umat - umat yang terdahulu, dipanjangkan umur mereka hingga mencecah ribuan tahun. Lalu Rasulullah SAW memohon kepada Allah SWT agar dipanjangkan umur umat baginda. Maka Allah SWT kurniakan Lailatul Qadar di mana pahala ibadah dilipat gandakan seolah hambaNya beribadah untuk tempoh 1000 bulan yang bersamaan 83 tahun 4 bulan. Pahala membaca Al_Quran contohnya, dikurniakan Allah SWT 1 kebaikan untuk setiap 1 huruf yang dibaca. Subhanallah.

Perbincangan diteruskan dengan tanda - tanda Lailatul Qadar. Antara tanda - tanda yang disebut:
1. Matahari tak terlalu memancar cahayanya
2. Siangnya redup, tenang
3. Malam yang cerah tanpa bulan dan bintang
4. Tidak hujan

Pada malam tersebut seluruh malaikat akan turun dan memasuki rumah - rumah ahli ibadah, memberikan salam lalu berjabat tangan dengan mereka, dengan izin Allah SWT, dan hanya kepada yang terpilih sahaja. Namun, segalanya adalah rahsia Allah SWT. Teruskan ibadah dengan tawaduk dan istiqamah. Semoga 3 fasa yang kita lalui akan diakhiri dengan malam di mana segala dosa diampunkan sebersih dan sesuci seorang bayi yang baru dilahirkan. Insyaallah. Adakah Ramadhan Ini Yang Terakhir Buatku...? Diingatkan kepada diriku sendiri agar Ramadhan ini biar jadi detik melatih dan memperbaiki diri bukan mengejar kesempurnaan, tapi cukuplah pada kesederhanaan yang sentiasa mampu ditingkatkan dari semasa ke semasa sementara hayat masih berbaki. Sekurang - kurangnya biar ada perubahan positif walaupun sedikit, asalkan terus menerus bukan hanya pada bulan tertentu. Istajibillahumma du'a ana, ya Allah.

No comments:

Post a Comment